~stand together~

sixth batch sambestarian's blog





Bismillah walhamdulillah wasolati wassalam ala rasulillah.

Pernah dahulu, dalam artikel saya yang bertajuk Krisis Ilmu dan Masyarakat, saya bersikap agak sinis terhadap kata-kata "Belajar itu perlu berguru. Sesiapa yang tidak berguru maka gurunya ialah syaitan"

Kata-kata ini, tidak dinafikan, mencetuskan rasa takut dalam cenderung meluaskan ilmu dalam kalangan generasi sebelum kita (generasi kita takder sangat la kot, moden la katekan..). Di tambah lagi dengan pernyataan "Sesiapa yang banyak bertanya maka lemahlah imannya" (sape penah dengar ayat nih..). Lebih teruk lagi ada satu golongan yang menakrifkan perbuatan menuntut ilmu itu ialah seperti mayat di tangan tukang mandinya. Maka hendaklah penuntut itu menuruti sahaja perbuatan dan kata-kata gurunya itu.

Ya, Islam menitikberatkan perasaan hormat dan sayang terhadap guru, bahkan terhadap orang lain walaupun kepada orang yang kurang umurnya daripada kita. Tetapi perasaan hormat dan sayang itu tidak membutakan kita terhadap kebenaran dan kebatilan. Tambahan lagi apabila bersangkut paut dengan agama, maka maqasid syariah (matlamat yang ingin dicapai oleh syariah) yang pertama, iaitu menjaga agama haruslah berganda-ganda diutamakan.

Dan tiada pula dalil yang menunjukkan "banyak tanya" itu merupakan simptom lemah iman. Apa yang wujud dalam Quran ialah:

"Dan janganlah kamu menuruti apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, kesemua anggota itu akan dipersoalkan tentang apa yang dilakukan" (al-isra':36)

Tolak tepi dahulu perspektif-perspektif yang disebutkan, jika mengenang frasa pertama yang saya sebutkan tadi, saya agak musykil tentang asal-usulnya sama ada frasa ini berasal daripada sumber yang berautoriti atau hanyalah rekaan hasil kretiviti pembuat bid'ah.

Masakan tidak, frasa ini agak popular dalam kalangan rakan-rakan saya( dak2 DQ) yang khabarnya pernah menuntut bersistemkan pondok. Maka saya terfikirkan suatu kemungkinan bahawa mungkin kata-kata ini ialah suatu yang sahih dari segi maknanya dengan bermakna dapat kita ambil intipatinya.

Sebelum ini saya berfikiran sebaliknya. Masakan tidak jika mengenangkan kejumudan pemikiran yang membarahkan masalah intelek dalam masyarkat kita. Sudahlah masyarakat benci kepada sesuatu yang ilmiah itu, mereka suka pula kepada sesuatu yang bersifat picisan( kena kat saya balik la plak). Maka kebarangkalian untuk menjadi sahih itu amatlah sukar.

Walaupun sebegitu, mungkinkan penyakit-penyakit minda masyarakat itu tidaklah secara langsung berasal daripada frasa itu. Mungkinkah bahawa kesalahan mencerna maklumat itu sebenarnya punca masalah kita.

Mengambil contoh istilah hukum fiqah "sunat" yang ditakrifkan sebagai "Melakukannya mendapat pahala dan meningglakannya tidak mengapa (terlepas daripada dosa)". Dan juga makruh yang bermaksud "Melakukannya tidak mengapa dan meninggalkannya mendapat pahala". Jika kita perhatikan, berapa ramai antara kita yang hanya mementingkan perbuatan yang berkaitan hukum ini yang mempunyai sangkut paut dengan "tidak mengapa". Sedarkah antara kita bahawa Allah akan menjadi rapat apabila kita melazimkan amalan-amalan sunat.

Jadi dengan menggunakan persamaan kes di atas dan dengan frasa yang disebutkan awal tadi, saya mengandaikan bahawa kebenaran ada dalam kata-kata tersebut. Persoalan di sini ialah BAGAIMANA?

Beza dalam pemberian.

Jadi apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan "Gurunya ialah syaitan" itu?

Apabila dilihat dari sudut keilmuan, belajar melalui perantaraan buku itu kadang-kadang lebih efektif. Malah suasana belajar sendiri lebih cenderung menyuruh kita meluaskan pembacaan ke bidang-bidang yang dirasakan berkaitan.

Orang yang belajar sendiri itu dilihat lebih cerdik dan cepat memahami sesuatu. Malah jika difikirkan bagaimana pengkajian dalam bidang sains berkembang melalui postulation, maka agak sukar memikirkan bagaimanakah dengan belajar tidak berguru itu membawa apek negatif.

Tetapi, keberdampingan dengan guru atau ulama' juga menjamin ilmu yang luas. Tidak perlu contoh-contoh muktabar, lihat sahaja masa di zaman sekolah, jika ada seorang yang agak 'kamcing' dengan gurunya, maka mungkin kita boleh predict keputusan peperiksaannya itu.

Jadi dalam aspek pemberian ilmu, kedua-duanya ialah jalan yang baik dalam mendapatkannya. Kalau dinilai dari sudut autoriti, kedua-duanya juga ialah reliable, dengan syarat para penuntut ilmu perlulah adil dalam menerima.

Tetapi dalam dunia keterbatasan masa ini, mungkin ramai lebih memilih buku. Seeloknya kedua-dua jalan ini perlu digabungkan dalam memastikan kita tidak "keliru"

Maka apakah komplikasi di sebaliknya?

Jika kedua-duanya tidak lain berbeza antara satu sama lain, maka apakah masalah yang dipunyai? Apakah kurangnya pembelajaran mengikut buku berbanding mengikut guru.

Semestinya buku mempunyai kekurangan yang tidak ada dalam proses menuntut melalui perantaraan manusia. Semuktabar mana pun sesuatu kitab atau buku itu, sebagaimana lengkap pun ilmunya, buku tidak memberi pengajaran AKHLAK.

Ya, mana mungkin teks bacaan mendidik AKHLAK. Akhlak ialah sesuatu yang diteladani, dengan maksud ditonjolkan oleh seseorang untuk kita menirunya. Kelebihan berguru ialah penuntut ilmu itu akan mendapat pengajaran dari segi cara menghandle ilmu itu selain intipati ilmu itu sendiri.

Maka apakah guna ilmu tinggi, tetapi tidak disampingkan dengan akhlak yang mulia, manifestasi kepada iman yang tulen.

Komplikasi akhlak

Ilmu itu ialah amanah. Malah mahsyur diceritakan bahawa "ilmu itu ialah cahaya. Dan cahaya itu tidak masuk ke dalam hati orang yang melakukan maksiat". Ilmu juga ialah sesuatu yang dikaitkan dengan kemulian.

"Allah menaikkan darjat orang yang beriman dan menuntut ilmu"(almujadalah :11)

Maka apakah yang penting apabila amanah + kemuliaan dicampakkan dalam hati kita? Tentunya sikap TAWADHU'. Tawadhu' mengawal kita supaya tidak lupa diri dan takbur sebagaimana Iblis lupa identitinya sebagai hamba semasa disuruh sujud hormat kepada Adam.

Sikap takbur, lawan kepada takbur, menyebabkan kita merasakan diri ini mulia berbanding orang lain. Dengan mudah kita memperlekeh pendapat orang lain yang kita anggap kurang kuantiti ilmu berbanding kita. Dalam sesuatu keadaan kita mudah menghina peribadi seseorang yang khilaf pendapatnya dengan kita.

"Ek eleh aku dah baca berpuluh kitab dan laman web, siapakah gerangan individu ini yang kurang ilmunya daripada aku untuk meradd aku nih"

Ulama' terdahulu, terutama yang terlibat dengan bidang Jarh wa Ta'dil, memang terkenal dengan menceritakan keburukan peribadi individu-individu. Tetapi tidak boleh menggunakan maklumat ini untuk "menghalalkan" perbuatan kita menghina peribadi. Ulama' terdahulu punya autoriti yang benar-benar tulen dan mereka melakukan atas tujuan menjaga agama daripada hilang bentuk asalnya.

Teringat cerita seorang tabi'en terkenal (sama ada Sufyan as Sauri atau pun Az-zuhri) seewaktu di saat akhir-akhir hayat beliau, beliau telah bertanya kepada hamba beliau "Apakah pendapat penduduk negeri ini (sama ada Basrah atau Baghdad) tentang aku? Hamba itu menjawab "Sesungguhnya mereka amat hormat kepada engkau tetapi mereka amat takut (amat marah) terhadap kritikan terhadap perawi-perawi hadis (kerana sangat keras kritikannya). Ulama' itu menjawab "Sesunggunhnya aku lebih takut (daripada perasaan masyarakat kepadaku) apabila aku berada dihadapan Allah kelak, maka Dia akan bertanya "sesungguhnya kau mengetahui bahawa ada kecacatan di hadis ini dan ini maka mengapakah kau tidak bertindak sesuatu"(lebih kurang ek citer..saya amat kesal kerana tidak menjumpai buku yang mempunyai teks asal)

Maka pastikanlah perasaan Taqwa sebegini tebal dalam hati, jika rasa-rasa ingin menjadi seperti ulama' Hadis.

Maka tiadanya tawadu' juga menjadikan kita KERAS DALAM BEPENDAPAT.

Sesunguhnya khilaf dalam kalangan manusia dalam sesuatu hal ialah norma. Sesuatu perkara yang tidak boleh dikhilafkan ialah persoalan aqidah.

(ali imran:103)وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ
"berpeganglah dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah"

Menurut tafsir ibnu kathir, tali bermaksud perjanjian( nak kena hurai ker perkaitan"perjanjian" dgn akidah"...kalo nak tya la ek)

Maka sebab itu saya sentiasa bersetuju dengan pendapat Dr.Asri dalam persoalan akidah. Walaupun ramai memanggil beliau seorang yang "keras", "keras" itu bertempat.

Tapi tatkala membicarakan tentang urusan fiqah, yang terkenal keluasannya dan hal-hal dunia, yang berkali-kali luasnya, maka apakah gunanya keras dalam berpendapat.

Banyak kisah yang menarik sesuai dijadikan contoh. Salah satunya , di sebuah masjid pada bulan Ramadan, jemaah masjid itu berselisih sama ada ingin melakukan 8 rakaat atau 20 rakaat. Perselisihan yang mula-mula kecil lama-lama melibatkan kata-kata kesat. Tiba-tiba Hassan al-Banna datang dan mereka merujuk kepada beliau. Maka beliau berkata:

"Mana lebih penting, mengekalkan kesepaduan umat islam atau melakukan amalan sunat di bulan Ramadan. Sesiapa yang ingin melakukan lapan rakaat lakukanlah. Sesiapa yang ingin melakukan 20 rakaat lakukanlah."

Intipati yang kita dapat daripada cerita ini ialah, selain kebijaksanaan Hassan AlBanna betapa khilaf berpendapat itu boleh menimbulkan perpecahan.

Bak kata Qasim bin Muhammad (laisa min qaulin nabiyyi), "khilaf itu rahmah". Benar, tetapi sesiapa yang rasa ingin berkhilaf hendaklah menjaga adab-adab supaya tidak meruntuhkan perpaduan.

Kesimpulan

Maka apakah, kesimpulan dalam artikel saya ini? (saya xder idea sebenarnya)

Saya berpendapat sifat-sifat mahmudah seperti ADIL, JUJUR, IKHLAS dan juga sifat TAQWA, penting dalam menuntut ilmu. Moga-moga ilmu itu menjadi aset kepada kita bukannya liabiliti semasa menghadap YANG MAHA ESA nanti.

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ الَّذِى ءاتَيْنَـهُ ءَايَـتِنَا فَانْسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ الشَّيْطَـنُ فَكَانَ مِنَ الْغَاوِينَ - (al araf :175)
"ceritakanlah kepada mereka tentang mereka yang diberikan ayat(petunjuk) kemudian dia melepaskan diri daripada ayat2 lalu dia diikuti syaitan maka jadilah dia orang yang sesat."

Semoga bermanfaat.

Wallahu musta'an.

Afiq, rumahku di shah alam yang ader open house 17 oct nih

ps:susah kan apabila hilang rentak menulis..











0 KOMENTAR:

Labels

Blogumulus by Roy Tanck and Amanda Fazani

Chat Box